PANDANGAN dunia terarah ke bumi Syria ketika ini kerana keganasan
dan kekejaman regim Bashar Assad menangani kebangkitan rakyat Syria
yang mahukan kebebasan. Jika ingin menjelaskan isu ini dari awal hingga
sekarang, ruang yang diberikan ini sudah tentu tidak mencukupi.
Justeru, Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) hanya akan menjelaskan
beberapa perkara yang penting dan berkaitan sahaja untuk masa ini.
Kebangkitan rakyat di Syria semakin hari semakin memuncak. Bagaikan
air sungai yang mengalir, jika disekat dari satu arah, akan terus
mengalir melalui arah yg berlainan. Semakin disekat, lama kelamaan akan
melimpah bagaikan air bah yang mengalir deras. Konflik di Syria sudah
hampir memasuki bulan ke-12 namun masih tiada tanda-tanda yang
menunjukkan bahawa konflik ini akan reda atau berakhir. Semakin hari
angka kematian semakin meningkat.
Di bumi barakah ini masih terdapat
ramai pelajar asing yang datang khusus untuk mendalami ilmu agama.
Bilangan pelajar Malaysia yang masih berbaki seramai 167 orang, 113
lelaki dan 54 perempuan. Kebanyakannya menuntut di pusat pengajian
rasmi seperti Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro dan Mujamma' Fatah Islami
bagi pengajian kuliah dan pengajian bahasa, sementara Ma'ahad Dauli
bagi pengajian diploma, dan Ma'ahad Lughah bagi kursus bahasa.
Pengajian berjalan seperti biasa sejak bermula kebangkitan
rakyat Mac 2011 hinggalah sekarang. Apa yang berbeza adalah sistem
pengambilan pelajar baru bagi kuliah, yang antaranya telah menaikkan
yuran pengajian, termasuk bagi pelajar-pelajar lama. Namun bagi urusan
untuk mendapatkan visa pelajar, di lihat agak mudah berbanding
tahun-tahun sebelumnya tetapi tidak dinafikan disana ada juga
masalah-masalah yang sulit. Ini kerana Mujamma' Syeikh Ahmad Kiftaro
dan Mujamma' Fatah Islami yang kini dikenali Ma'ahad Syam 'Ali telah
diiktiraf oleh kerajaan Syria dan diletakkan dibawah Kementerian
Pelajaran Tinggi, juga di bawah Kementerian Wakaf.
Antara masalah yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia di Syria
ialah kesukaran untuk mengeluarkan wang melalui mesin-mesin ATM di
sini. Semua bank antarabangsa disekat daripada beroperasi untuk
pengambilan duit di mesin ATM. Pengambilan duit hanya melalui kerjasama
PPMS dengan pihak Kedutaan Malaysia dan beberapa pelajar yang keluar ke
negara jiran seperti Jordan, Lubnan dan Turki, dengan mengirimkan
kad-kad ATM kepada mereka untuk dikeluarkan di sana. PPMS mewakili
rakyat Malaysia di Syria, mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak
Kedutaan Malaysia yang banyak membantu kami.
Masalah lain pula ialah kos sara hidup yang makin meningkat.
Harga barang-barang keperluan harian naik mendadak dan dalam masa yang
sama ekonomi Syria jatuh merudum.
Keadaan keselamatan di Syria secara keseluruhannya semakin
meruncing kecuali di bandar Damsyiq. Pelajar kita hanya menetap di
Damsyiq dan sekarang masih berada dalam keadaan selamat. Keadaan
keselamatan di Damsyiq khasnya masih lagi dalam keadaan terkawal namun
sudah ada tanda-tanda menunjukkan Damsyik juga bakal meruncing kerana
Damsyik satu-satunya daerah yang baru bangkit sedangkan daerah lain
sudah pun bergolak teruk.
Antara daerah-daerah atau bandar-bandar yang teruk dibedil dan
mengalami kemusnahan adalah Homs (150km dari bandar Damsyiq), Halab
(433km), Hama (202km) dan Dara'a (101km). Kesemua bandar yang menjadi
pusat pelancongan dahulu kini berubah menjadi tempat tumpuan rejim
Bashar al-Assad. Namun terdapat juga bandar-bandar atau kawasan-kawasan
yang terletak di pinggir Damsyiq (rif Dimasyq) seperti Zabdani, Daraya,
Qodam, yang terletak tidak jauh dari bandar Damsyiq (sekitar 25-35km)
telah berlaku pertempuran dan tembak-menembak antara tentera pembebasan
dengan tentera kerajaan.
Kami memohon jasa baik kerajaan untuk mempertimbangkan kembali
kos pembiayaan evakuasi untuk rakyat Malaysia di Syria sekiranya
keadaan di Damsyiq menjadi lebih teruk kerana semua pelajar di sini
tidak mendapat bantuan kewangan ataupun pinjaman pengajian dan hanya
bergantung kepada sumber daripada keluarga sahaja.
Zil Wildad
Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS)
# Tabung bantuan Syria
Sumbangan untuk pelajar Malaysia di Syria dan rakyat Syria yang
memerlukan boleh disalurkan melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan
Antarabangsa PAS. Akaun Nombor 564070703248 (Maybank) atas nama Parti Islam Se-Malaysia.
sumber :
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8646-rintihan-pelajar-malaysia-di-syria
Tiada ulasan:
Catat Ulasan