Sabtu, 17 Disember 2011

KE MANAKAH AIR MATA KITA DITUMPAHKAN?


“Siapa di antara kita pernah menangis kerana umat?” sila angkat tangan. “Siapa di antara kita bangun malam,dalam solatnya menangis kerana umat?” sila angkat tangan.

Lama saya mendiamkan diri.Terpaku saya tatkala soalan ini diajukan oleh salah seorang  anak usrah saya sewaktu kami mendiskusi isu semasa .Saya bertanya pada diri adakah aku pernah menangis kerana umat? Sedangkan sepanjang hidup saya, jarang sekali air mata ini tumpah kerana umat.Kebiasaannya ,air mata ini akan jatuh ketika berada dalam kesedihan,kesusahan,keresahan  dan semua itu hanya untuk diri sendiri dan bukan untuk umat.Satu muhasabah untuk kita bersama.

Secara hakikatnya,air mata mudah mengalir tatkala diri berada dalam kesusahan,kekecewaan,keresahan dan sebagainya.Adakah tangisan sebegini tangisan yang berkualiti?

Memang tidak dinafikan,air mata merupakan satu anugerah yang allah kurniaka buat manusia .Mengikut kajian, allah menjadikan tangisan itu adalah untuk mencuci mata dan membuang kimia yang menyebabkan stress dalam badan kita.

Antara tangisan yang berkualiti ialah :
1)      Tangisan orang yang bertaubat
2)      Tangisan orang yang munajat kepada Allah
3)      Tangisan orang yang mengenang pengorbanan rasul dan para sahabat
4)      Tangisan orang yang memikirkan masalah umat
5)      Tangisan orang yang bersyukur dan redho dengan ketentuan Allah
6)      Tangisan orang yang mendapat kebahagiaan dalam hidupnya

Satu muhasabah untuk kita bersama.Adakah air mata yang kita selalu tumpahkan tergolong dalam item-item di atas?Kita selalu mengungkapkan bahawa kita cintakan Allah dan Rasulullah,tetapi mana buktinya?

Umat dahulu menangis kerana tidak dapat ikut peperangan tetapi umat sekarang menangis kerana idola mereka tersingkir dari rancangan kegemaran mereka.
Umat dahulu menangis kerana terlalu rindu untuk betemu rasulullah tetapi umat sekarang menangis kerana rindukan kekasih mereka.
Umat dahulu menangis kerana  takut andai cintanya ditolak oleh Allah tetapi umat sekarang menangis kerana takut andai cinta mereka ditolak kekasih hati.

Saya ingin menceritakan satu kisah tentang pohon tamar yang menangis kerana terlalu rindukan Rasulullah s.a.w.

 Mimbar di Masjid Nabawi asalnya diperbuat dari pohon tamar.Ia adalah tempat Rasulullah s.a.w bersandar ketika menyampaikan khutbah.Suatu hari,dibuatkan bagi Rasulullah s.a.w mimbar yang baru untuk berkhutbah.Apabila mimbar yang baru sudah siap,Rasulullah s.a.w mula menggunakannya.Tiba-tiba mimbar yang lama yang dibuat dari pohon tamar itu menangis sedih dek kerana Rasulullah s.a.w tidak menggunakan ia lagi. Tangisan itu bukan sahaja didengari oleh Rasulullah s.a.w bahkan para sahabat turut mendengar tangisan itu  seperti tangisan unta kehilangan anak yang semakin lama semakin kuat.
Lalu Rasulullah s.a.w memeluk pohon tamar itu sambil berkata:
“Jika engkau mahu,aku akan kembalikan engkau seperti pohon sedia kala dan jika engkau mahu aku akan berdoa kepada Allah s.w.t  agar engkau akan menjadi pohon di syurga kelak.”

Pohon tamar itu memilih pilihan yang kedua,maka ia ditanam ke dalam tanah dan akan tumbuh di syurga kelak.Pohon tamar itu berkata :
“Aku memilih negeri yang kekal abadi berbanding negeri yang fana ini”.Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya batang tamar itu di tanam di bawah mimbar itu.

Disebutkan bahawa Ibnu Umar r.d.h meletakkan tangannya pada tempat duduk Rasulullah s.a.w di atas mimbar Rasulullah s.a.w,kemudian meletakkan (menyapukan) tangannya itu ke wajahnya.

Daripada Hasan al-Basri
Apabila meriwayatkan kisah ini,maka beliau pun menangis dan berkata :
“Wahai hamba Allah!Batang tamar pun menangis kerana ridukan Rasulullah s.a.w,maka kamu semua lebih utama untuk merasakan rindu bertemu dengan Rasulullah s.a.w

Masya Allah…hebat sungguh pohon tamar ini menangis kerana terlalu rindukan Rasulullah s.a.w  tetapi bagaimanakah dengan tangisan kita?Adakah tangisan kita hebat seperti pohon tamar itu? Sepatutnya kita perlu ada rasa "malu" dan "cemburu" kerana tangisan kita tidaklah seperti tangisan pohon tamar itu.Kita renungkan bersama.

Kesimpulan yang ingin saya bawakan ialah bersederhanalah dalam menghadapi kesedihan,kekecewaan dan sebagainya kerana kegembiraan itu akan datang dengan izin Allah dan bersederhanalah dalam kegembiraan kerana bila-bila masa sahaja kesedihan akan hadir.Andai tangisan itu untuk Allah,Rasulullahs.a.w dan umat,menangislah kalian semahu-mahunya, kerana dengan tangisan yang sebegini,secara tidak langsung kita akan cuba untuk memperbaiki diri dan sentiasa memikirkan masalah umat.Andai kita mampu mengalirkan air mata untuk mengubati kesedihan diri sendiri,maka kita perlu memaksa dan berusaha menangis untuk Allah,Rasulullah dan permasalahan umat.Kita adalah rantai-rantai perjuangan yang akan mengislah dan membentuk  umat bermanhajkan islam dan jangan jadikan perjuangan itu tamat di sebabkan kita.Semoga kita dalam kalangan orang yang saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.. salam ukhuwwah fillah..:-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan