Isnin, 20 Februari 2012

As-Sayyidah Al-Fadhilah Labibah Ahmad, Ketua Muslimat Ikhwan Muslimin yang pertama


Kekuatan Ikhwan Muslimun khususnya di Mesir tidak hanya bergantung kepada penampilan sayap Pemuda dan Ulama semata-mata, tetapi juga bergantung kepada sejauh mana penglibatan Muslimat dalam sepak terajang politik Mesir yang penuh dengan penipuan, penindasan serta memilih warna kulit dalam kancah politiknya.

Penglibatan Gerakan Akhwat (sayap Muslimat) Ikhwan Muslimun turut mewarnai kancah politik Mesir, yang bukan sahaja menitik-beratkan persoalan yang dihadapi golongan wanita, iaitu membebaskan mereka daripada berpegang teguh kepada ajaran agama Islam kepada berpegang dengan ajaran Islam itu sendiri, ini kerana Mesir tidak terkecuali disenaraikan sebagai sebuah negara yang diancam Barat dengan gerakan pembebasan wanita.

Sesungguhnya anggota Akhwat Gerakan Ikhwan Muslimun amat kental dan sinonim dengan Islam. Mereka mengerahkan seluruh tenaga yang ada bagi memastikan agar wanita Islam di Mesir dibela melalui program yang boleh menyelamatkan akidah mereka daripada terjerumus dalam kancah penentangan terhadap hukum-hukum Allah SWT seperti bebas bergaul dengan lelaki tanpa mengambil kira batas-batas yang diharamkan, mendedahkan aurat sebagai bukti menuju kejayaan dan bermacam-macam elemen lain yang melayakkan mereka menjadi ahli neraka.

Antara tokoh wanita yang dimaksudkan berjaya memimpin golongan sejenis dengannya ialah Labibah Ahmad, yang merupakan Ketua Akhwat Muslimat pertama yang juga sayap wanita Gerakan Ikhwan Muslimun yang dikenali sebagai cukup kental dengan pendirian terhadap agama Islam yang menjadi teras kepada perjuangan Ikhwan Muslimun.

Penglibatan Labibah dalam Ikhwan Muslimun

Labibah satu nama besar dalam memimpin sayap wanita Ikhwan atau lebih dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Beliau dilahirkan pada 1292H/1875M di Kaherah dari sebuah keluarga mulia yang menitik-beratkan pendidikan agama, belajar di peringkat rendah di tangan ahli keluarganya yang berpendidikan agama dengan memulakan belajar bahasa Arab dan beberapa ilmu asas agama seperti Sirah Nabi Muhammad s.a.w., ilmu sastera, syari'at Islam dan lain-lain.

Dalam peringkat menengah pula, keluarga Labibah menghantarnya ke sebuah sekolah yang mengajar mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah hingga mampu menguasai semua subjek agama dengan baik serta mencapai pengetahuan luar biasa kerana penguasaannya yang disifatkan sebagai pelajar terbaik ketika itu.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, Labibah menulis bahan-bahan rencana berbentuk Islam kepada beberapa akhbar tempatan untuk disiarkan dengan menggunakan pelbagai nama pena bagi mengaburi pihak berkuasa. Kebanyakan tulisannya berbaur seruan kepada wanita untuk bangkit menyatakan hak mereka yang diabaikan oleh pihak berkuasa.

Mula menggerakkan wanita di negaranya apabila menganjurkan satu revolusi kebangsaan pada 16 Mac 1919 bersama Huda Sya'rawi dan Nabawiyyah Musa (aktivis pembebasan wanita terkenal di seluruh Mesir dengan kelantangan suara mereka menyatakan hak kaum wanita) menghadapi penjajah Inggeris yang menyekat revolusi berkenaan. Revolusi kebangsaan itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar seluruh dunia apabila menyatakan bahawa wanita Mesir bangkit melawan Inggeris yang mengehadkan pergerakan dan hak wanita. Revolusi itu diperkuatkan dengan penyertaan tokoh-tokoh pejuang kebangsaan Mesir ketika itu seperti Qadim Amin, Sa'ad Zaghlul dan Mahmud Samy al-Barudi.

Pada 1923, Huda Sya'rawi mengasaskan Kesatuan Wanita yang masih dilihat oleh Labibah hanya terbatas pada perkara-perkara pokok sahaja. Justeru, beliau mengasaskan pula 'Pertubuhan Kebangkitan Wanita-wanita Mesir', ia meliputi aspek akhlak, kemasyarakatan, keagamaan yang bersandarkan kepada hukum Syariat Islam yang tidak dibuat atau diperkenalkan oleh Huda Sya'rawi.

Pertubuhan yang diasaskan oleh Labibah itu turut menyediakan program ilmu yang memacu wanita untuk menjadi golongan terpelajar dalam apa jua bidang yang diceburi mereka, terutama golongan pekerja kedua-dua sektor kerajaan dan swasta bagi memastikan produk Mesir dalam dihasilkan dengan jayanya.

Tidak cukup dengan itu, Labibah menerbitkan sebuah majalah melalui pertubuhan yang diasaskan, yang dikenali dengan 'Majalah Kebangkitan Wanita' yang beroperasi selama 20 tahun sehingga permitnya dihentikan oleh pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu pada 1942. Majalah itu mendapat sambutan menggalakkan kerana beberapa rencana yang termuat di dalamnya ditulis oleh tokoh-tokoh pemikir Islam termemuka seperti Syakib Arsalan, ar-Rafi'ie, Farid Wajdi serta Muhibuddin al-Khatib.

Hasan al-Banna dapat hidu ketangkasan Labibah

Ketangkasan kepimpinan Labibah dihidu oleh pengasas Ikhwan Muslimun, Imam Syahid Hasan al-Banna apabila Almarhum membuka sayap wanitanya yang dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Imam Hasan mempelawa Labibah untuk mengisi jawatan ketua sayap berkenaan pada 1948, setahun sebelum kewafatan Imam Syahid yang ditembak mati, Labibah menerima pelawaan itu dan mejadi Ketua Akhwat pertama.

Labibah menerajui sayap Akhwat berkenaan selama 10 tahun, akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada pelapis selepasnya. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidup dengan membaca kitab-kitab agama khususnya yang berkaitan dengan Syari'at Islam. Labibah meninggal dunia pada usia 80 tahun iaitu pada 1955M/1385H di pangkuan keluarga tercinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan