Sejak sekian lama, kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph".
Bertugas dan bekerja dengan hambar. Terkadang dihambat rasa letih dan
bosan. Dahulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya
pula dengan pelbagai istilah dan gerak kerja amal jama'ie, amal fardhi
dan amal ijtimaei. Saya masih ingat, selain usrah saban minggu, jamaah
kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam
setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhayyam, namun segalanya kini
hanyalah menjadi kenangan manis. Tiada lagi qiamulail dan muhasabah
perjuangan di waktu dinihari, bimbingan sang murabbi yang diberikan
thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi.
Ukhuwwah
cukup erat dan intim. Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan,
"Ana uhibbuka fillah yaa akhi..." sebaik memberi salam dan berpelukan
menemukan pipi-pipi merah yang menahan getir perjuangan ini. Ziarah dan
bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita
sesama jamaah. Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat
seperjuangan sakit atau ditimpa musibah.
Cepat kita menolak
segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan.
Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap. Tak siapa mampu merobeknya
dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita. Manakan tidak.
Makan setalam, tidur sebantal dan musafir sekenderaan, bersulam doa
rabithah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al
ma'thurat saban pagi dan petang.
Buku-buku haraki sentiasa di
tangan, sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di
lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan
kekusutan berfikrah. Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik
sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam
pertemuan-pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan.
Semangat
jihad berkobar-kobar, merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di
medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala. Ceramah para
pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan
akhirnya baharulah disudahi dengan perkembangan isu semasa. Audien
menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan
aqidah perjuangan.
Timbul masalah, segera kita cari naqib atau
terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing-masing menutup masalah
dan aib saudara masing-masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan
tugas perjuangan yang lebih besar. Cepat melupakannya serta segera
memaafkan. Masalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana
ukhuwwah Islamiyyah yang tebal segera merawatnya.
Mesyuarat
dengan penuh mesra. Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah
sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita
mempunyai pandangan yang berbeza. Rasa bangga apabila pandangan
sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata.
Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri, tidaklah
meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan
sendiri. Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah
dinanti-nanti. Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan
sahabat seperjuangan.
Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan
ini. Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan
perjuangan. Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi
muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat. Namun, sedihnya hari
ini rasa "umph" itu telah hilang. Zaman semakin canggih malangnya
ukhuwwah semakin dhoif. Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas
bara api. Nak bercakap rasa tak kena, tak bercakap rasa salah. Jumpa
sahabat hanya mengangguk kepala, kalau sempat pun sekadar bersalam
tangan. Rasa sukar untuk mendekap pipi, sebab masing-masing sibuk
memburu waktu entah nak ke mana. Kalau peluk semua ahli mesyuarat,
terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan. Ada yang rasa
janggal dan geli geleman.
Makan secara layan diri kemudian
berasingan melayan perasaan. Memandang sahabat seperti musuh. Ya, musuh
dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik.
Menyertai PAS bukan lagi menyertai "Gerakan Islam" tetapi menyertai
parti politik yang berjuang atas nama Islam.
Hadir mesyuarat
seperti menghadiri parlimen untuk berdebat dengan musuh. Pantang keluar
pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan
layaknya seperti di parlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan
sayang. Tidak lagi bermula dengan al ma'thurat dan doa rabithah.
Asma'ul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras.
Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa.
Adab
bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah
di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini. Nak baca macam
mana, usrah pun sudah 5 tahun tidak hadir. Terma-terma jamaah yang
selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana
kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri, wehdatul
amal dan sebagainya.
Mesyuarat sebelum mesyuarat, mesyuarat
dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin.
Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original
dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus. Sebab, sebelum masuk
mesyuarat, perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat
seperjuangan sudah dibincang oleh entah komuniti mana lalu masuk
membawa keputusan yang telah direncanakan. Jika putus sesuatu pula
dalam mesyuarat itu, ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang
bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi.
Memang
aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini. Hilang "umph" dan yang
timbul ialah rasa curiga-mencurigai antara satu sama lain. Suasana
sentiasa tegang dan panas. Bila-bila masa boleh mencetus perbalahan.
Masing-masing menanti waktu turning point sebagai masa mahu bertindak.
Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat. Sorotan mata bila
memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih
mesra. Seperti merenung musuh, kalau tidak pun seperti menaruh rasa
jengkel dan benci sesama kita. Ada sahaja yang tidak kena dan hati
sentiasa tidak puas.
Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat
khidmat kepada jamaah juga semakin luntur. Bertindak dalam paksa jangan
sampai orang kata kita tidak buat kerja. Kemanisan dalam melakukan
kerja dan tugas jamaah tidak terasa, kalau pun masih terasa hanya
sekadar manis-manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula
Melaka.
Terma-terma asas perjuangan Islam seperti jihad, negara
Islam, hudud, mukhayyam tarbawi, usrah, harakah Islamiyyah, naqib,
ukhuwwah fiLlah dan lain-lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum.
Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak, tidak kena timing,
keterlaluan, non-Muslim tidak akan mengundi kita, kolot dan macam-macam
lagi sms akan masuk menempelak. Kini "umph" dalam berjamaah dan
berjuang tidak terasa lagi. Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa
garam dan rencah. Habis semangkuk, perut boleh kenyang tetapi "umph"nya
tiada. Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula "umph" dalam
perjuangan ini?
Harapan saya, agar pemuda dapat menikmati semula
"umph" tersebut. Untuk itu, pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap
Pemuda Hebat (UMPH).
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sumber : http://www.tarbawi.my/index.php/soal-jawab/politik-dan-gerakan/275-pemuda-mesti-ada-qumphq
Tiada ulasan:
Catat Ulasan