Ahad, 22 April 2012

Hapuskan PTPTN

Isu penghapusan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional [PTPTN] semakin rancak apabila reaksi mahasiswa dan anak muda terhadap tindakan kerajaan menafikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta. Tan Sri Tajuddin menyebabkan liabiliti tanggungan RM8 bilion. YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memutuskan hutangnya sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta dihapus kira walaupun tiga tahun lalu mahkamah memerintahkan beliau melangsaikannya.
 

Berbangkitnya  isu PTPTN oleh anak - anak muda dewasa kini, juga ekoran tindakan PTPTN bermaharajalela melebihi Bank  dan dilihat menindas graduan. PTPTN tidaklah dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia. Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang, samaada hutang rumah atau kereta, mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun.
Along Negara.
Malangnya kes PTPTN ini, sebagai contoh pada 8 Jun 2011, Mandeep Singh [ isu pelajar UNISEL ] telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia. Insiden ini menyebabkan PTPTN dilihat tidak ubah seperti Along berlesen.
Along berlesen ini terus menjadi igauan ngeri yang sering menghambat keselesaan hidup anak muda yang terlibat.  PTPTN asalnya bukan wajib dipinjam, ia adalah optional disamping biasiswa negeri dan JPA. Namun wang PTPTN terpaksa dipinjam kerana ibu bapa tidak terdaya menanggung bayaran pengajian dan kampus yang tinggi. Sehingga kini negara mempunyai  1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun. Tapi  lihatlah apa musibah PTPTN ke atas mereka :

a]  Purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.
b] Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. (66.9% disaman)
c] Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34% berbanding RM6.04 bilion, jumlah yang sepatutnya diperolehi,  maka seramai 132,801 pelajar telah disenarai hitamkan dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman.

Kurangkan beban rakyat

Justeru telah menjadi suatu yang telah diketahui umum bahawa komitmen Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah menjaga kebajikan rakyatnya serta dalam masa yang sama memastikan pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi sihat dan subur.

Maka saya melihat Kerajaan Pakatan Rakyat kelak sangat berpotensi untuk melunaskan komitmen tersebut melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang adil, amanah, telus dan berintegriti atau menepati piawaian sebuah kerajaan yang disebut sebagai Good Governence.

Kerajaan selayaknya menjadi Payung Rakyat bukan menjadi Along Negara yang menghambat rakyat. Guna kekayaan anugerah Allah kepada negara kita untuk rakyat dan bangunkan negara melalui pembangunan yang memulangkan manafaat kepada rakyat terbanyak bukan hanya kepada kelompok elit dan kroni. Sebelum ini, sejarah  Kerajaan UMNO dan BN sering dilihat menggunakan wang negara bernilai tinggi untuk bailout dan menjaga kepentingan syarikat GLC dan kroni yang mengalami kerugian besar dan hampir bankrap. Sebagai contoh mudah ialah :

a] MAS yang rugi sebanyak RM478 juta dan kerugian bersih setakat ini, sebanyak RM 1.2 billion. Bagaimana syarikat MAS mampu survive jika tanpa campur tangan kerajaan yang menyokong syarikat berkerugian besar ini ? persoalan lain yang berkaitan ialah bagaimana syarikat yang sepatutnya membawa pulang keuntungan besar tiba - tiba mengalami kerugian berskala besar pula ?

b] Syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia. Dilapor oleh The Singapore Straits Times  bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

c] Menyuntik modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil alih oleh bank milik UMNO, Bank of Commerce dan membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCBB)
d] Pembelian saham Technology  Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta
e]  Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom
f]  Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS

g] Memaksa Petronas membeli saham Proton dan ambil alih Litar Sepang
h]  Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli yang bernilai RM 1.8 bilion
i] Pengambilalihan syarikat UMNO, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Dana Harta
j] Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL dengan penguasaan 80% saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation
k] Mamaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain.
l] Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian.

Melalui pentadbiran jimat cermat dan bebas rasuah, saya berkeyakinan Kerajaan Pakatan mampu melunaskan komitmen yang diberi. Selama ini, dibawah pentadbiran UMNO dan BN, dana negara tiris dan bocor lalu mengalir ke longkang projek yang tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat terbanyak. Sebagai contoh : [ wang negara boleh dijimatkan jika tiada perkara ini ]

a] Projek Menara 100 tingkat

b] kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM 15.8 bilion.

c] PERMATA [Rosmah]  projek tanpa hasil signifikan kepada pembangunan negara. Perlaburan yang kabur dan tiada pulangan dalam masa terdekat.

Realitinya, sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009.  Jika ketirisan wang negara [peruntukan kerajaan] dapat dikawal, RM 28 bilion dan untung Petronas RM 90 bilion sepatutnya mampu untuk meringankan beban rakyat terutama dalam menjamin masa depan pendidikan rakyat.

Bagaimana PTPTN boleh mansuh.

Sebenarnya tidaklah sukar untuk melihat PTPTN ini dimansuhkan. Justeru PTPTN adalah simptom akibat tradisi korporat, komersial dan kapitalisme dalam kampus tempatan sehingga menyebabkan pendidikan tinggi sebagai suatu perjudian sehingga mahasiswa dan keluarga mereka terpaksa bergolok gadai.

Jika Pakatan Rakyat benar - benar mampu mengawal pentadbiran dan dana negara dari pembaziran, rasuah, ketirisan dan penyelewengan ditambah pula keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi sihat dan subur, maka kerajaan boleh menyediakan pakej kos pengajian tinggi yang paling minima dan tidak membebankan,  malah boleh sampai ke peringkat menyediakan tawaran pendidikan percuma kepada rakyat. Apabila ini boleh dilakukan dan sepatutnya kerajaan boleh melakukannya, maka dengan sendirinya tiada siapa yang akan pergi menjerut leher di pintu masuk PTPTN.

Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi .
Suatu Sorotan .

Kelihatan retorik dan tidak relevan tetapi ia [pendidikan pengajian tinggi percuma] adalah suatu kewajipan asas bagi sesebuah kerajaan adil perlu diberikan kepada rakyat. Negara Libya [era Gaddafi ] pernah mencipta rekod pendidikan percuma dan elaun khas untuk mahasiswa yang berjaya ke menara gading. Libya hanya memutar wang minyak sahaja kepada kebajikan rakyat bukan melalui sumber lain selain polisi kerajaan untuk berjimat.

Belum ada kes atau rujukan negara yang muflis atau mundur kerana pendidikan percuma, sebaliknya pendidikan tinggi adalah modal pembangunan kerajaan bahkan negara akan mudah maju dan makmur jika ramai mahasiswa dapat dihasilkan.

Mahasiswa atau graduan yang kurang atau tiada hutang akan menjadikan mereka lebih fokus untuk memajukan diri, industri dan negara bukan sekadar bekerja over time siang malam untuk memikirkan hutang keliling pinggang.  Natijahnya mahasiswa yang gradusi dengan hutang tinggi akan menghasilkan modal insan robot yang bekerj untuk tembolok sendiri.

Negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi ialah :

Sweden
Norway
Finland
Arab Saudi,
Kuwait
Cuba
Sri Lanka

Selepas yuran kampus dihapuskan, tiada lagi keperluan institusi kewangan atau tabung tertentu untuk memenuhi kehendak kapitalisme menara gading. Jua tidak lagi perlu berhutang dari Along Negara dan Along Negara bolehlah gulung tikarnya.

Contoh pengiraan  [Universiti Malaya]

a] 20,000 orang pelajar dengan yuran sebanyak RM3,000 setahun.

b] RM3,000 x 20,000 orang berjumlah RM60 juta.

c] Jumlah IPTA terkini 20 buah :

1. Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur,
2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor,
3. Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor,
4. Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang,
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor,
6. Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang,
7. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), KL,
8. Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah,
9. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak,
10. Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah,
11. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak,
12. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), N9,
13. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Selangor,
14. Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu,
15. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor,
16. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka,
17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis,
18. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Terengganu,
19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan,
20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KL

d] 20 buah x RM 60 juta = RM 1200 juta  [RM 1.2 bilion]

Jumlah ini masih mampu ditanggung kerajaan jika pembelian atau bailout syarikat kroni tidak dilakukan secara berleluasa serta wang tiris dikawal sementara wang untung seperti yang dihasilkan oleh Petronas diurus secara telus. Rakyat terbanyak akan mendapat manafaat dari konsep Negara Berkebajikan yang jelas menepati kehendak Allah swt dan melandasi WahyuNya.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan rezeki ) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al A'araaf : 96

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Renungan bersama

Renungan buat mereka yang berkata, "Saya benci politik. Politik kotor, memecah belahkan, saling memfitnah dan terlalu sukar dipercayai janji orang-orang politik. Saya mahu menjaga ugama saya," mari berfikir sejenak;

1) Adakah dengan menjauhi politik, anda terjamin jadi bersih? Tidakkah dunia ini seluruh penjurunya bercampur baur antara baik dan buruk dan kita sendirilah yang menentukan untuk kita?


2) Adakah orang-orang mulia seperti para ulama dan mujahidin sepanjang zaman yang terlibat dalam politik peringkat tertinggi telah menjadi kotor kerananya? 



3) Bagaimana anda menakrifkan politik baginda al Rasul صلى الله عليه وسلم yang memuncak sehingga terpaksa berperang dengan senjata? 



4) Jika orang yang 'bersih' seperti anda menjauhi politik, apa hukum membiarkan dunia politik untuk dikuasai orang-orang yang kotor?



5) Jika hak anda dicabuli oleh orang politik, seperti dibekukan kenaikan pangkat semata-mata kerana enggan menyokong orang politik, adakah satu kemuliaan dan 'kebersihan' jika anda hanya diam membisu atau menolak orang yang datang membantu mempertahankan hak anda itu?



6) Adakah untuk anda mencampuri politik, ia memerlukan sehingga tubuh anda dan keluarga sendiri dianiayai dulu oleh orang politik, atau cukup dengan melihat saudara seagama yang lain dianiaya. Adakah anda mahu terhantuk dulu baru tengadah?



7) Adakah anda melihat agama Islam mengajar agar dijauhi politik dan orang politik?



8) Adakah anda melihat seorang nabi bukan ahli politik? Dengan maksud, nabi diutuskan untuk menjauhkan umat daripada politik?



9) Apakah pendapat anda untuk menjatuhkan ahli politik yang jahat tanpa menyentuh politik?



10) Adakah anda menemui dalil atau nas yang membenarkan anda lari dari tanggung jawab menentang kemungkaran politik?


Nik Mohamad Abduh
Timbalan Dewan Pemuda PAS Malaysia

Perbahasan Taadud Jamaah





Semoga video ini dapat memberi pencerahan kpd kita tentang positif dan negatif konsep Taadud Jamaah dalam gerakan islam dan Semoga kita berintima' dengan harakah yang sebenar-benar harakah...semoga kita tergolong dalam golongan orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Rabu, 18 April 2012

Islam Membina Umat ( Ringkasan tafsir Syed Qutb daripada surah al Shaff )

Sesungguhnya Al Quran datang untuk membina satu umat. Ia dibina untuk memikul amanat ugamanya di muka bumi. Justeru ia membina peribadi dan peribadi itu dibina di dalam jamaah. Pembinaan itu pula berlaku secara amalan dan praktikal dalam satu m...asa. Maka Islam tidak tergambar kecuali di dalam satu ruang himpunan yang tersusun, memiliki ikatan, peraturan dan tujuan iaitu membina manhaj Ilahi di dalam diri dan masyarakat di muka bumi. Ia membina sebuah masyarakat yang hidup, bergerak, bekerja dan menghasil produk kehidupan yang membangunkan muka bumi di dalam hudud dan lingkungan manhaj Ilahi.

Islam, di sebalik kesungguhannya membina peribadi, bukanlah agama untuk golongan yang suka menyendiri dan lari daripada masyarakatnya. Sebaliknya, Islam datang untuk mentadbir kehidupan dan menguruskannya. Maka pembinaan Islam terhadap diri dan peribadi adalah menumpu kepada asas bahawa mereka mesti hidup di dalam masyarakat dan bersama masyarakat menuju Allah dan manhajNya.

Itulah pembinaan di hari pertama dakwah al Rasul bermula. Ia membina sebuah jamaah sahabat yang dipimpin oleh ketaatan dan kepatuhan kepada ketua dan akhlak jamaah. Ia terbina lebih awal sebelum terbinanya negara Islam di kota Madinah, bahkan ia menjadi wasilah ke arah pembinaan negara Islam yang pertama itu.


Nik Mohamad Abduh
Timbalan Dewan Pemuda PAS Malaysia

Khamis, 12 April 2012

Nilai Sebuah Perubahan pada Jamaah Islam

1. Perubahan adalah suatu yang bersifat sunatullah. Namun perubahan mesti dipimpin agar menepati tuntutan Amal Islami, sementara jamaah atau parti ini memperjuangkan Islam. Malah perubahan mesti didokong oleh penggeraknya [Rijaalut taghyir] yang memahami matlamat dan objektif Jamaah Islam yang didokong ini.

2. Sifat positif pada sebuah perubahan yang digerakkan ialah untuk menganjak prestasi dan kualiti jamaah ke suatu tahap yang lebih baik dan cemerlang. Situasi ini agak subjektif dan memerlukan penelitian yang serius dan halus agar ia tidak diurus secara rambang dan boros tanpa mengambil kira hikmah [kebijaksanaan] dan himmah nya [kewibawaan]. Tentunya kita tidak mahu usaha merubah dan membaiki jamaah menjadi seumpama tikus membaiki labu.

3. Sebagaimana wujudnya sokong yang membawa rebah demikian juga gerakan perubahan yang tidak dipimpin dengan cahaya petunjuk Allah swt dan akhlak Islami akan membawa binasa. Pastinya kita tidak mahu ubah yang membawa rebah semata - mata kerana kegagalan mengurus perubahan dan memimpinnya dengan baik dan berkesan. Dalam erti kata lain, perubahan yang digerakkan mestilah menepati keperluan jamaah dan tuntutan ummah.

4. Jauhi elemen negatif yang bermaksud menggerak perubahan hanya pada mengalih posisi orang lain untuk menganjak posisi kita. Bahasa mudahnya ialah menjatuhkan kedudukan orang lain untuk memastikan survival pengaruh dan kedudukan kita di dalam parti yang kemudiannya dibina di atas nama gerakan perubahan kononnya. Perubahan ini tidak berlandaskan matlamat yang jelas selain memangku hasrat yang negatif [mazmumah].

5. Gerakan perubahan tidak boleh bertolak dari rasa tidak puas hati, sebaliknya ia mesti berpaksi di atas kesedaran dan keinsafan yang tinggi terhadap cita - cita perubahan tersebut serta memiliki matlamat dan objektif yang jelas, tepat dan benar. Justeru perubahan yang tidak mempunyai asas kukuh, pelan tindakan strategik dan hala tuju yang cerah lagi terang akan mencetus polemik yang merumitkan dan krisis yang menghakis kekuatan jamaah.

6. Manisnya perubahan itu digerakkan secara jamaei [kolektif] melalui keputusan bersama yang disepakati lantas digerakkan secara terancang berasaskan pelan tindakan yang diputuskan. Hindari perubahan yang dicetuskan oleh individu atau kumpulan dengan maksud ingin mempersada kumpulan mereka di atas tersadainya pihak lain. Perubahan begini akan menumbuhkan benih keretakan dan menajamkan perselisihan antara anggota jamaah tanpa menemui jalan sudahnya.

7. Sewajarnya setiap anggota jamaah mengalu - alukan gerakan Tajdid [pembaharuan], gerakan Islah [memperbaiki] dan gerakan Taghyir [perubahan] demi menempatkan jamaah pada kedudukan sesuai dengan keadaan dan zaman yang dihadapi. Malah mampu mendepani cabaran semasa dengan jaya dan berkesan. Sesuai pula dengan sifat Islam yang sangat mengalu - alukan ijtihad semasa [muaasirah] agar perlaksanaan Islam senantiasa segar dan pemafahamannya senantiasa jelas.

8. Membawa perubahan bukan untuk menyalahkan orang selain daripada kita atau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain untuk jamaah. Perubahan juga tidak hanya terhenti pada menukar susuk tubuh pemimpin kepada pemimpin yang lain tetapi merangkumi perubahan pemikiran, budaya kerja, sikap dan sebagainya. Tiada keperluan membuat perubahan jika sekadar menukar kepada susuk tubuh pemimpin yang baru tetapi performance kerja dan tugas dengan jamaah sama atau lebih buruk dari yang sebelumnya.

9. Cerdasnya apabila perubahan yang cetuskan itu bermula dari pencetus dan penggeraknya.

Langkah pertama : tampil dengan performance atau komitmen kerja dan tugas yang baik agar kita tidak pula termasuk dari kalangan ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sebaliknya menjadi model perubahan secara praktikal. Justeru tiada erti kita gerakkan perubahan jika kita sendiri masih mengekalkan perkara yang serupa dengan yang sebelumnya.

Langkah kedua: sediakan frame perubahan secara jelas. Sekira - kira menjawab persoalan yang timbul seperti : apa yang mahu diubah ? nak ubah kemana? kenapa perlu ubah ? sasaran perubahan ? selain matlamat dan objektif perubahan itu mesti jelas, road mapnya juga mesti tidak berliku dan mengelirukan. Jangan hanya bercakap bahawa kita mahukan perubahan, kita mahukan perubahan, kita mahkan perubahan tetapi tiada persiapan dan persedian yang jitu untuk perubahan yang dimaksudkan.

Langkah ketiga : gerakkan perubahan ini mesti libatkan semua. Sekurang - kurangnya mewakili sebahagian besar anggota jamaah. Andai beberapa orang sahaja bercakap soal perubahan sedang sebahagian besar yang lain tidak menyertainya, maka agenda perubahan itu tidak berkesan malah tidakkan berhasil. Lebih malang apabila berlaku tindakan menuding jari kepada pihak lain kononnya pihak itu tidak mahu berubah dan tidak akan berjaya jika enggan berubah, apabila gerakan perubahan yang dibawa tidak mendapat sambutan.

10. Mengayuh roda perubahan mestilah cermat justeru yang mahu diubah ialah manusia yang miliki perasaan dan aqal. Berbeza untuk mengubah suatu yang bersifat jaamidat seperti kerusi meja di pejabat. Kita boleh ubah sesuka hati berapa kali dalam sehari. Tetapi untuk gerakan perubahan pada manusia dan organisasi yang didokong oleh manusia, penggerak perubahan mestilah sabar, tabah dan mempunyai hala tuju yang jelas serta mayakinkan.

Saya tidak prejudis dengan gerakan perubahan namun sebagai peringatan kepada semua termasuk diri saya sendiri, jika gerakan perubahan itu hanya bermula dari rasa tidak puas hati dan pertelingkahan politik serta perselisihan pendapat, saya yakin gerakan perubahan itu hanya seperti angin pantai yang meniup secara bermusim, kadang sepoi kadang ribut namun tidak merubah apa - apa sekadar mencetus kelam kabut yang tidak berkesudahan mengganggu kedamaian di tepian pantai.

 -Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

PEMUDA MESTI ADA "UMPH..."

Sejak sekian lama, kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph". Bertugas dan bekerja dengan hambar. Terkadang dihambat rasa letih dan bosan. Dahulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerak kerja amal jama'ie, amal fardhi dan amal ijtimaei. Saya masih ingat, selain usrah saban minggu, jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhayyam, namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis. Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari, bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi.

Ukhuwwah cukup erat dan intim. Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan, "Ana uhibbuka fillah yaa akhi..." sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi-pipi merah yang menahan getir perjuangan ini. Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah. Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah.

Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan. Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap. Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita. Manakan tidak. Makan setalam, tidur sebantal dan musafir sekenderaan, bersulam doa rabithah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang.

Buku-buku haraki sentiasa di tangan, sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah. Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan-pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan.

Semangat jihad berkobar-kobar, merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala. Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya baharulah disudahi dengan perkembangan isu semasa. Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan.

Timbul masalah, segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing-masing menutup masalah dan aib saudara masing-masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar. Cepat melupakannya serta segera memaafkan. Masalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah Islamiyyah yang tebal segera merawatnya.

Mesyuarat dengan penuh mesra. Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza. Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata. Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri, tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri. Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti-nanti. Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan.

Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini. Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan. Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat. Namun, sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang. Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif. Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api. Nak bercakap rasa tak kena, tak bercakap rasa salah. Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala, kalau sempat pun sekadar bersalam tangan. Rasa sukar untuk mendekap pipi, sebab masing-masing sibuk memburu waktu entah nak ke mana. Kalau peluk semua ahli mesyuarat, terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan. Ada yang rasa janggal dan geli geleman.

Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan. Memandang sahabat seperti musuh. Ya, musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik. Menyertai PAS bukan lagi menyertai "Gerakan Islam" tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam.

Hadir mesyuarat seperti menghadiri parlimen untuk berdebat dengan musuh. Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti di parlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang. Tidak lagi bermula dengan al ma'thurat dan doa rabithah. Asma'ul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras. Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa.

Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini. Nak baca macam mana, usrah pun sudah 5 tahun tidak hadir. Terma-terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri, wehdatul amal dan sebagainya.

Mesyuarat sebelum mesyuarat, mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin. Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus. Sebab, sebelum masuk mesyuarat, perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komuniti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan. Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu, ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi.

Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini. Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga-mencurigai antara satu sama lain. Suasana sentiasa tegang dan panas. Bila-bila masa boleh mencetus perbalahan. Masing-masing menanti waktu turning point sebagai masa mahu bertindak. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat. Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra. Seperti merenung musuh, kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita. Ada sahaja yang tidak kena dan hati sentiasa tidak puas.

Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur. Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja. Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa, kalau pun masih terasa hanya sekadar manis-manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka.

Terma-terma asas perjuangan Islam seperti jihad, negara Islam, hudud, mukhayyam tarbawi, usrah, harakah Islamiyyah, naqib, ukhuwwah fiLlah dan lain-lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum. Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak, tidak kena timing, keterlaluan, non-Muslim tidak akan mengundi kita, kolot dan macam-macam lagi sms akan masuk menempelak. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi. Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah. Habis semangkuk, perut boleh kenyang tetapi "umph"nya tiada. Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula "umph" dalam perjuangan ini?

Harapan saya, agar pemuda dapat menikmati semula "umph" tersebut. Untuk itu, pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat (UMPH).

Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sumber : http://www.tarbawi.my/index.php/soal-jawab/politik-dan-gerakan/275-pemuda-mesti-ada-qumphq

Selasa, 3 April 2012

Krisis di Mesir

Baru-baru ni semasa saya dalam perjalanan ke kelas dengan menaiki teksi, saya dan sahabat telah mendengar perbualan 2 orang ammu (pakcik) yang menceritakan tentang krisis di Mesir.Bagi mereka "Thaurah" (demonstrasi/revolusi) itu HARAM.Kata pemandu teksi "sebenarnya kita tak perlu join thaurah sbb nikmat yang ada sekarang semuanya dari Allah". Saya dan sahabat meneliti lagi perbualan mereka.Bagi mereka krisis yang berlaku ini semuanya berpunca sejak pentadbiran Ikhwan Muslimin dan mereka membanding-bandingkan pentadbiran zaman Husni Mubarak dengan IM dan saya agak terkejut bilamana kedua-dua ammu itu suka pentadbiran Husni Mubarak berbanding IM kerana permasalahn ekonomi yang semakin ketara ketika ini .Masya Allah..! Dalam hati saya terdetik "ade jugak orang macam ni yang tak tahu erti kezaliman kepada rakyat !"...
Ini adalah sedikit maklumat yang saya ambil dari orang yang saya thiqah dengannya iaitu Ustaz Abdul Malik selaku mantan Penasihat PMRAM 2011 yang mana beliau di antara orang yang selalu mengikuti perjalanan politik di Mesir.
Setelah beberapa bulan dilantik PM Mesir, negara dilanda krisis berikut:

1)Petrol dan diesel yg mengakibatkan kenderaan sukar mendapatkan bahan api di stesen2 minyak, kenderaan terpaksa beratur panjang

2)Krisis gas yg mengakibatkan harga satu tong gas melambung dari LE8 kpd LE40

3) Penyakit kuku dan mulut pd haiwan ternakan terutama yg menyerang lembu
 4)Krisis roti 'isy yg sukar diperolehi

5)Didakwa bersubahat dgn Amerika membebaskan beberapa org warga Amerika yg sdg dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memberi bantuan asing bg menghuru-harakan Mesir

6)Terbaru,pasukan keselamatan menahan 15 aktivis warga Syria yg mengadakan protes membantah keganasan tentera Syria

Inilah kegagalan kerajaan Mesir pimpinan PM Dr.Kamal Janzuri (gambar). Ikhwan Muslimin melalui partinya,FJP yg menguasai majoriti kerusi Parlimen masih gagal membentuk kerajaan walaupun sudah menyiapkan senarai menteri baru. Ini kerana pihak tentera tidak bersetuju dgn pembentukan kerajaan baru FJP. Ikhwan Muslimin berjanji akan terus memberi tekanan kpd kerajaan Janzuri hingga beliau dan barisan menterinya berundur.
 
 

Muhasabah Diri bersama Syria...

 

Moga ketenangan dan kedamaian di Syria menjadi kenyataan bila sudah tiba masanya...