Semenjak diangkat menjadi gabenor Mesir oleh Khalifah Umar
Al-Khattab, Amr bin Al-Ash tidak lagi turut serta di medan pertempuran. Dia
lebih banyak tinggal di istananya di Mesir. Di hadapan istananya yang mewah itu
terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang lelaki... yahudi tua.
“Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah masjid”,
detik hati si gabenor. Dipendekkan cerita, yahudi itu dipanggil mengadap
gabenor untuk melakukan proses tawar-menawar bagi membeli tanah milik Yahudi
tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal
kerana orang tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya. Ini
kerana harga yang ditawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.
“Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tidak menyesal!”. Tegas gabenor
dengan nada ancaman. Setelah orang tua yahudi itu berlalu, Amr segera
memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi
membongkar tanah milik yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang
tua tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam
situasi mengecewakan itu, terdetiklah dalam hati orang yahudi itu untuk mengadu
keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab. “Ada apa-apa keperluan
yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh ke sini?, tanya Umar
al-Khattab kehairanan. Orang tua itu sebenarnya sungguh gementar berdepan
dengan seorang klhalifah yang berkedudukan tinggi dan penuh wibawa. Walaupun
pada hakikatnya penampilan khalifah Umar amat sederhana dibandingkan dengan
keluasan kekuasaan pemerintahan beliau. Setelah degup jantungnya bertambah
reda, orang tua itu mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan
miliknya dan melaporkan aduan kesnya dengan penuh kesedihan. Merah padam wajah
Umar apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu. “MasyaAllah, kurang sopan
sungguh Amr!”, kecam Umar. “Sungguh tuan saya tidak mengada-adakan cerita walau
sepotong ayat”, sahut orang tua itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah
dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu
menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya. “Berikan tulang ini
kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir,” perintah khalifah Al-Faruq
Umar al-Khattab. Orang Yahudi itu semakin kebingungan, “Tuan, adakah tuan
sedang mempermainkan saya?” kata Yahudi tua itu dengan suara yang perlahan. Dia
mula cemas dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. “Jangan–jangan khalifah
dengan gabenornya sama saja. Yalah, di mana saja manusia yang majoriti dan
memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan pasti akan menindas kaum minoriti.
Malah mungkin aku akan ditangkap dan dituduh sebagai seorang subversif,” bisik
hati orang tua itu dengan penuh curiga dan khuatir. Namun dia tetap mengadap
gabenor Mesir sebagaimana yang diarahkan oleh khalifah Umar al-Khattab. Setelah
menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir, orang tua itu semakin
tidak faham. Dia semakin tidak faham kerana gabenor Mesir dengan segera
memerintahkan sesuatu yang di luar dugaan. “Runtuhkan masjid itu!”, teriak Amr
bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti
dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat. Yahudi itu segera berlari
keluar dari istana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan
kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang dijangkakan.
Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan masjid yang tersergam indah
yang hampir siap dibina itu. “Tunggu!”, jerit orang tua itu. “Maafkan saya tuan
gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa yang pelik ini? Adakah ia
berpunca daripada tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu sehingga Tuan begitu
nekad membuat keputusan merobohkan semula bangunan yang amat mahal ini?
Sesungguhnya saya benar-benar tidak faham?”, tanya orang tua itu bertalu-talu
dengan nada yang penuh kehairanan. Amr bin Ash memegang bahu datuk tua itu
penuh mesra, “Wahai datuk, sebenarnya tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya
juga busuk”. “Tapi…”, orang tua itu cuba mencelah. “Namun, kerana ia
mengandungi perintah khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti.
Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa setinggi mana pun
kekuasaan seseorang ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf
alif yang digores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama
ada ke atas (di kalangan pembesar) mahu pun ke bawah (di kalangan rakyat
biasa). Lurus seperti huruf alif dari atas hingga bawah. Dan bila saya tidak
mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal
kepala saya!”, jelas gabenor Mesir itu panjang lebar. “Sesungguhnya, amat agung
ajaran agama tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya
itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam,” ujar orang Yahudi itu
penuh keikhlasan berserta linangan air mata yang tidak tertahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan